Headlines News :
Home » » Sabah mahu langkah kanan

Sabah mahu langkah kanan

Written By The Tambadau on Thursday, January 23, 2014 | 11:21 AM

Sabah mahu langkah kanan

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

Menjelang perlawanan menentang Kuantan FA malam ini.

SELEPAS hampir setengah tahun membuat persiapan, pasukan ‘baharu’ Sabah bakal menguji kekuatan sebenar mereka apabila turun menentang pasukan kelab dari Pahang, Kuantan FA dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.


Tumpuan pastinya kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan Ketua Jurulatih, Seslija Milomir pada perlawanan itu kerana beliau mempunyai 26 pemain sebagai pilihan dengan hanya empat pemain musim lalu yang masih kekal.

Baru-baru ini, Milomir mendedahkan beliau mempunyai 13 hingga 15 pemain yang layak untuk menjadi kesebelasan utama, namun, katanya, senarai kesebelasan terbaik sudah berada dalam fikirannya.

“Saya memiliki 14 hingga 15 pemain yang boleh diturunkan sebagai kesebelasan utama, tetapi ia bergantung pasukan mana yang kita akan lawan.

“Setiap pemain mempunyai peluang kerana mereka bekerja keras pada setiap sesi latihan, tapi saya tahu siapa yang akan main…ianya sudah berada dalam fikiran saya,” katanya.

Baru-baru ini, Sabah mengumumkan 26 pemainnya yang bakal menjadi sandaran pasukan untuk menyelesaikan misi layak ke Liga Super musim depan.

Antara pemain yang tersenarai termasuk penyerang sensasi negara, Rozaimi Rahman, serta pemain pertahanan senior, Reithudin Emran yang dipanggil semula menyertai pasukan selepas beraksi bersama pasukan Cebagoo FC pada musim lalu.

Selain itu, pasukan Sabah juga bakal diperkuatkan tiga pemain import luar iaitu penyerang, Marwan Sayedeh (Syria), pemain tengah, Mitrovic Srecko (Serbia), dan pertahanan, Pocuca Predeg (Crotia).

Sabah turut mengekalkan pemain seniornya iaitu ketua pasukan, Rosdin Wasli, dan Zainizam Marjan selain memasukan lapan pemain import dari semenanjung iaitu Mohd Fazli Paat, Mohd Redzuan Nawi, Md Farid Ideris, Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar, Varathan Arumugam, Wan Mohd Hoesne Wan Hussein, Isma Alif Mohd Salim, dan Pritam Singh Charun Singh.

Di atas kertas, Sabah mungkin pasukan pilihan pada perlawanan malam nanti, namun, Milomir menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak.

“Kita tidak boleh memandang mudah perlawanan ini kerana apa pun boleh terjadi dalam bola sepak, sebelum ini saya difahamkan pasukan Kuantan FA pernah mengikat Terengganu 0-0 pada pra-musim lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Milomir berkata, beliau yakin anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kuantan FA berdasarkan komitmen yang ditunjukkan pemain ketika ini, ”Saya mempunyai keyakinan pada perlawanan ini, mereka (pemain) sentiasa bekerja keras ketika latihan termasuklah ketika mengharungi lapan perlawanan persahabatan pra-musim, baru-baru ini…saya yakin kita mampu melepasinya (mara ke pusingan seterusnya dalam Piala FA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyerang, Rozaimi Abd Rahman mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan malam ini.

Katanya, walaupun penyerang berusia 22 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan dan direhatkan daripada sesi latihan, namun dia yakin Rozaimi akan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan malam ini.

“Kita merehatkan dia dalam beberapa sesi latihan baru-baru ini, kita harap dia akan mampu diturunkan esok (malam ini)…kita akan lihat nanti,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Kuantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Milomir berkata Rozaimi hanya mengalami kecederaan ringan disebabkan beberapa faktor termasuk cuaca tidak menentu yang sedikit menjejaskan keadaan padang ketika latihan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Rahman Zakaria, berkata kemenangan ke atas Kuantan FA malam nanti sangat penting bagi menaikkan lagi semangat pemain untuk mengharungi perlawanan akan datang.

“Walaupun sebenarnya sasaran kita adalah untuk layak ke Liga Super pada musim depan, namun saya menganggap perlawanan Piala FA ini juga penting.

“Saya harap pemain akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan menentang Kuantan FA, kemenangan pertama dalam perlawanan kompetitif pertama ini sangat penting,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA