Headlines News :

Latest Post

Piala FA pusingan kedua pertemuan Sabah dan Kelantan

Written By The Tambadau on Thursday, January 30, 2014 | 6:47 PM


PIALA FA
Pusingan Kedua

Sabah vs Kelantan
Masa : 8:00PM
Tarikh : 4 Feb 2014

Perlawanan ini disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801

#MisiKITA

Siaran ini boleh ditonton secara online di blog ini dengan cara klik sini.

MISI KITA TETAP DITERUSKAN : ROSDIN

Written By The Tambadau on Tuesday, January 28, 2014 | 5:29 PM

Kapten Sabah itu yakin pasukan akan perbetulkan kesilapan, tingkatkan corak permainan

Oleh WILLIE JUDE JUNAIDI
willie@sabahfa.com


KETUA Pasukan, Rosdin Wasli, menegaskan misi Sabah untuk kembali ke Liga Super musim depan tetap diteruskan walaupun tewas pada dua perlawanan awal, baru-baru ini.

Pemain berusia 32 tahun itu berkata, dia percaya semua pemain dalam pasukan akan bangkit dan memperbetulkan semua kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Pada separuh masa pertama ketika bertemu Felda United, kita menguasai perlawanan dan pemain juga beraksi dengan baik.

“Namun corak permainan kami sedikit menurun selepas pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan dan pada babak kedua pula, saya akui kami ada melakukan kesilapan.

“Bagaimanapun, saya percaya rakan sepasukan akan bangkit dan memperbetulkan mana-mana kesilapan kami sebelum perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar para peminat terus memberi sokongan kepada pasukan pada perlawanan akan datang.

“Misi kita harus diteruskan, marilah kita sama-sama memberi sokongan kepada pasukan, Insya-ALLAH kami akan membuat yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Sabah, Rahman Zakaria berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke Stadium Likas, Isnin lalu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada penyokong kerana dapat hadir ke stadium malam ini (Isnin) kerana pemain amat perlu sokongan penyokong.

“Bagaimanapun, saya menyeru penyokong dan peminat agar bersabar kerana saingan baru di peringkat awal,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Felda United, Isnin lalu.

Rahman turut memuji sikap penyokong yang sentiasa bersikap positif sepanjang aksi perlawanan dengan tidak melemparkan kata-kata kesat kepada pasukan mahupun pihak lawan.

Sabah akan meneruskan cabaran liga menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada 7 Februari tetapi sebelum itu mereka akan mengharungi pusingan kedua Piala FA menentang juara bertahan Kelantan juga di tempat lawan pada 4 Februari.

Workshop Series Photojurnalisme Vol.2


Workshop Series Photojurnalisme Vol.2 Shamshahrin Shamsudin Kota Kinabalu, SABAH, bermula 28, 29 dan 30 Mac 2014.Tempat adalah terhad.Bermula pada petang 28 Mac 2014.Antara perkara yang bakal disentuh dalam Workshop ini adalah Dokumentari Fotografi.

Tarikh : 28, 29 & 30 Mac 2014 
Tarikh TT bersama sahabat pada malam 29 Mac 2014
Lokasi Workshop dan Penginapan di Marina Court Apartment, Kota Kinabalu 
Yuran : RM500

*Ada satu tiket grant percuma untuk Workshop Series Vol.2 ini dikeluarkan dan akan dipilih sendiri oleh Shamshahrin sendiri dengan hasil artworknya dapat menyertai Workshop ini secara percuma.

FAM luluskan perlawanan malam di Stadium Likas

Written By The Tambadau on Saturday, January 25, 2014 | 2:42 PM

SABAH BERAKSI MALAM
FAM luluskan perlawanan malam di Stadium Likas

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com


SELEPAS beraksi petang sepanjang musim lalu, Sabah kini boleh ‘melayan’ kehadiran pasukan lawan di sebelah malam selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan perlawanan waktu malam di Stadium Likas, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil, berkata pihaknya sebelum ini telah membuat permohonan kepada FAM untuk perlawanan pada waktu malam selepas pemeriksaan tahap lux lampu dijalankan, 22 Januari lalu.

“Baru-baru ini (22 Januari), pihak SAFA bersama kakitangan Lembaga Sukan Sabah dan kontraktor yang bertanggungjawab telah melakukan pemeriksaan terhadao tahap lux lampu di Komplek Sukan Likas.

“Hasil pemeriksaan juga kemudian dimaklumkan kepada FAM dan permohonan untuk perlawanan pada waktu malam turut dikemukakan.

“Susulan itu, FAM telah meluluskan perlawanan pada 27 Januari bertemu Felda United diubah pada jam 8.15 malam,” katanya, kelmarin.

Perubahan masa perlawanan itu sudah pasti memberi kelegaan kepada penyokong Sabah yang tidak dapat datang ke stadium pada sebelah petang.

Sementara itu, tinjauan pada laman Facebook rasmi SAFA mendapati, kebanyakan penyokong gembira dengan keputusan berkenaan.

Difahamkan juga sebelum ini, antara faktor penyokong tidak dapat hadir ke stadium kerana bekerja selain beberapa faktor lain.

http://sabahfa.com/fam-luluskan-perlawanan-malam-di-stadium-likas/

***

REAKSI penyokong di laman Facebook rasmi SAFA selepas mendapat tahu Sabah akan bermain pada waktu malam menentang Felda United, Isnin depan.


Cebagoo tidak dapat meneruskan cabaran Piala FA


Banyak peluang tidak tidak menjadi. 2 percubaan terkena palang. Terima kekalahan dan kami akan teruskan. Masa penuh PBAPP FC 2 - CEBAGOO FC 0.

Buktikan sokongan kepada pasukan Sabah


Sebagai Sabahan, mari kita buktikan sokongan kepada pasukan Sabah dengan memenuhkan Stadium Likas pada 27hb ini, jam 4.00 petang dan laungkan teriakan memberikan semangat kepada pemain kita. Sabah akan menentang Felda United dalam saingan Liga Perdana 2014

Pulau Pinang telah membuktikan sokongan mereka apabila hampir 10 ribu penyokong memenuhi Stadium Bandaraya dan telah memberikan kesan hebat dengan memenangi perlawanan itu walaupun dibolosi seawal 10 minit pertama hasil jaringan Rozaimi.

Tidak memihak kepada kita

Written By The Tambadau on Friday, January 24, 2014 | 4:34 PM

TIDAK MEMIHAK KEPADA KITA
Sabah terpaksa akur tewas kepada Pulau Pinang di tempat lawan

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com


PERLAWANAN pertama Liga Perdana 2014 tidak memihak kepada Sabah apabila tewas 1-3 di tangan Pulau Pinang pada aksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Ketua Jurulatih, Milomir Seslija melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Reithudin Emran sebagai pertahanan bersama-sama dengan Pocuca Predrag, Varathan Arumugam dan Julamri Muhammad.

Kapten, Rosdin Wasli yang sebelum ini menerajui barisan pertahanan diberi kepercayaan bermain di bahagian tengah bersama-sama dengan Mitrovic Srecko, Mohd Redzuan Nawi, Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar, dan juga Rozaimi manakala Marwan Sayedeh dilihat bertindak sebagai penyerang tunggal.

Pada perlawanan itu, Sabah bermula baik di awal permainan dan berjaya mendahului 1-0 hasil jaringan Rozaimi di minit ke-10.

Gol itu bermula daripada satu gerakan menarik oleh Mohammad Ezaidy yang membuat hantaran lintang kemas dan disempurnakan dengan baik oleh pemain kebangsaan itu.

Bagaimanapun, pasukan Pulau Pinang yang bermain di hadapan lebih 10,000 penyokong mereka tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit apabila mula melancarkan beberapa serangan bahaya namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah selain diselamatkan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.

Permainan pasukan Sabah sedikit terjejas selepas kehilangan Mohd Redzuan yang terpaksa digantikan dengan Sabri Sahar akibat kecederaan.

Pada minit ke-28, Pulau Pinang hampir menjaringkan gol namun tandukan penyerang importnya, Lee Gil Hoon sekadar singgah di palang.

Pulau Pinang kemudian terus garang mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya menerusi Mohd Zharif Hasna yang merembat masuk bola ke jaring, satu minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Bermula di babak kedua, Sabah bermula baik dengan beberapa serangan bahaya termasuk rembatan Mohammad Ezaidy yang terkena palang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, Pulau Pinang lebih dulu mendapatkan gol menerusi seorang lagi penyerang importnya, Hilton Moreira, pada minit ke-61.

Hilton menyepak masuk bola muntah ke dalam gol selepas penjaga gol Sabah menyelamatkan sepakan percuma daripada pemain Pulau Pinang dari luar kotak penalti.

Sabah terus dihukum dua minit kemudian, kali ini menerusi serangan kilat pasukan Pulau Pinang ketika pasukan yang digelar ‘Sabahawks’ itu berusaha mencari gol penyamaan.

Gol minit ke-63 itu dijaringkan Mohd Zharif untuk gol peribadi keduanya pada malam itu.

Permainan kemudian seimbang dengan kedua pasukan saling bertukar serangan dan Sabah turut mendapat beberapa peluang baik namun masih gagal menghasilkan gol.

Milomir selepas itu cuba mengubah taktik permainan dengan memasukkan Maxsius Musa menggantikan Mohammad Ezaidy pada minit ke-66 dan merehatkan Marwan Sayedeh untuk digantikan dengan Isma Alif Mohd Salim pada minit ke-77.

Kemasukan dua pemain itu dilihat memberi sedikit nafas baru kepada pasukan namun tidak mencukupi untuk merapatkan jurang gol dengan Pulau Pinang.

Di penghujung perlawanan, penjaga gol Sabah, Mohd Fazli dilihat mengalami kecederaan, namun terpaksa bertahan berikutan Sabah telah melakukan tiga pertukaran sebelum itu.

Bagaimanapun, penjaga gol berasal dari Johor itu sempat melayangkan badan untuk menyelamatkan satu lagi cubaan bahaya daripada pemain Pulau Pinang di masa tambahan.

Dia kemudian rebah dan terpaksa diberi rawatan sekali lagi, tetapi kemudian mampu meneruskan perlawanan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA