Headlines News :
Home » » Milomir menangis terharu sokongan

Milomir menangis terharu sokongan

Written By The Tambadau on Thursday, January 23, 2014 | 10:30 AM

Tangisan Milo

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

Jurulatih Sabah tersentuh sambutan penyokong ’menakjubkan’.

PROGRAM ‘Pemain Bersama Peminat’ yang diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, kelmarin menyentuh emosi Ketua Jurulatih Sabah, Milomir Seslija apabila tidak mampu menahan air mata selepas melihat sambutan ‘menakjubkan’ daripada penyokong yang hadir.



Ketika diminta menyampaikan ucapan kepada peminat oleh pengacara, Farish Aziz, Milomir seakan-akan tidak mampu bersuara malah turut kelihatan mengesat air matanya.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik dan segala yang termampu untuk pasukan, Sabah Boleh! Sabah Boleh! Sabah Boleh!” katanya selepas itu, disusuli sorakan bergema daripada seramai kira-kira 1,000 peminat.

Selain kagum dengan sambutan diberikan, antara sebab jurulatih import berusia 49 tahun itu tidak mampu menahan sebak ialah apabila terlihat seorang penyokong membawa jersi lama pasukan Sabah bernombor 12 yang pernah dipakainya pada zaman kegemilangan pasukan sekitar tahun 90-an dulu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan saya harap sokongan sebegini akan berterusan pada kempen Liga Perdana nanti,” katanya yang masih mengesat air mata ketika ditemui selepas program berkenaan.

Program yang diadakan itu adalah anjuran gabungan kelab penyokong Sabah bersama penaja utama Carino, Borneo Sports Arena (BSA) dan Horizon Hotel.

Selain sesi memperkenalkan pasukan Liga Perdana 2014 Sabah, peminat yang hadir turut berpeluang mendapatkan autograf serta mengambil gambar bersama pemain kesayangan mereka.

Seramai kira-kira 1,000 penyokong hadir pada program ‘Pemain Bersama Peminat’ di Suria Sabah.

Sementara itu, seorang peminat setia dari Ranau, Waideh Laumin, 30-an, berkata sokongan yang diberikan peminat diharap berterusan sehingga tamatnya saingan Liga Perdana musim ini.

“Saya juga berharap, pemain dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi pada setiap perlawanan tidak kira di tempat lawan mahu pun tempat sendiri.

“Saya yakin dengan pengalaman jurulatih Sabah iaitu Milo dan juga penampilan semula penyerang, Rozaimi Abd Rahman, Sabah mampu pergi jauh musim ini,” katanya.

Para peminat yang hadir kelmarin turut dihiburkan penyanyi terkenal termasuk Esther Applunius, Ray Suria FM, Raynizam dan Ayin yang menunjukkan kemahiran tinggi bermain ‘finger percussion’.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Joehari Datuk Ayub serta Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam SAFA, Mohd Joh Wid.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA