Headlines News :
Home » » Temui pemain di Suria Sabah esok

Temui pemain di Suria Sabah esok

Written By The Tambadau on Thursday, January 23, 2014 | 11:25 AM

Temui pemain di Suria Sabah esok

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

BAGI menghangatkan lagi suasana arena bola sepak negeri ini, gabungan kelab dan kumpulan penyokong pasukan Sabah akan menganjurkan program ‘Pemain Bersama Penyokong’ yang akan diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, esok.


Program yang turut dianjurkan bersama penaja utama pasukan Sabah iaitu Carino, Borneo Sports Arena (BSA) dan Horizon Hotel itu akan berlangsung selama dua jam bermula dari jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang.

Selain pengenalan barisan pengurus dan pemain Sabah bagi musim 2014, pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan lagi program yang julung kali diadakan itu.

Pengerusi Penganjur yang juga selebriti terkenal, Farish Aziz, berkata tujuan program ‘Pemain Bersama Penyokong’ itu diadakan adalah sebagai tanda sokongan kepada pasukan Sabah yang akan mengharungi musim baru, minggu depan.

“Kita juga mahu menghidupkan semula semangat penyokong Sabah agar mereka kembali membanjiri stadium pada setiap perlawanan yang diadakan di tempat sendiri iaitu di Stadium Likas.

“Selain sesi pengenalan pemain, penyokong yang hadir turut berpeluang mendapatkan poster kalender pemain Sabah 2014 secara percuma serta memenangi hadiah menarik menerusi beberapa aktiviti menarik yang diadakan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat penyelaras program ‘Pemain Bersama Penyokong’ di bilik mesyuarat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), di sini, malam kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam SAFA, Mohd Joh Wid dan Ketua Jurulatih Sabah, Milomir Seslija.

Farish berkata, turut diadakan juga ialah persembahan oleh artis tempatan terkenal termasuk Esther Applunius, Ray Suria FM, Raynizam dan juga pemain ‘finger percussion’, Ayin.

Sementara itu, Mohd Joh, ketika ditemui, berkata program yang dianjurkan itu adalah titik tolak kebangkitan penyokong pasukan Sabah.

“Program ini sudah pasti akan membangkitkan semangat pemain dalam mengharungi musim baru yang akan bermula tidak lama lagi…syabas dan tahniah kepada semua yang terbabit dalam penganjuran program ini,” katanya.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA