Headlines News :
Home » » CABARAN SEBENAR BERMULA

CABARAN SEBENAR BERMULA

Written By The Tambadau on Thursday, January 23, 2014 | 9:11 AM

Menjelang perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini.
CABARAN SEBENAR BERMULA

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com



SELEPAS memulakan kempen 2014 dengan kemenangan, pasukan Sabah bakal menghadapi cabaran sebenar apabila turun menentang Pulau Pinang dalam perlawanan pertama Liga Perdana musim ini di tempat lawan, malam ini.

Jika dilihat, lawan Sabah kali ini tidak semudah seperti perlawanan pertama Piala FA menentang Kuantan FA, Selasa lalu, kerana Pulau Pinang mula menunjukkan kekuatan mereka apabila memaksa pasukan Liga Super, Sarawak berhempas-pulas pada saingan sama di Kuching.


Pasukan Sabah berdoa selepas tamat sesi latihan di Padang Penang Sports Club, petang kelmarin.

Pada perlawanan itu, Pulang Pinang berjaya mengikat Sarawak 1-1 sehingga ke masa tambahan namun terpaksa akur apabila pasukan Ngap Sayot akhirnya mendapat gol kemenangan sebelum wisel penamat dibunyikan.

Bagi Sabah pula, perlawanan menentang Kuantan FA tidak memberi masalah kepada mereka walaupun hanya dengan kemenangan tipis 1-0.


Perlawanan itu menyaksikan Sabah menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal melakukan penyudah yang baik dan hanya mampu berpuas hati dengan jaringan tunggal penyerang import dari Syria, Marwan Sayadeh pada minit ke-18.

Kesebelasan utama Sabah yang diturunkan pada perlawanan menentang Kuantan FA, Selasa lalu.
Kesebelasan utama Sabah yang diturunkan pada perlawanan menentang Kuantan FA, Selasa lalu.

Ketua Jurulatih, Milomir Seslija, bagaimanapun berkata kemenangan pertama itu telah menaikkan semangat pemain dan yakin mereka akan menunjukkan prestasi lebih baik pada perlawanan malam ini.

“Walaupun menang tipis, kemenangan tetap kemenangan dan ianya permulaan yang baik untuk pasukan.

“Dari segi permainan, pasukan menunjukkan satu persembahan baik terutama di separuh masa kedua, namun kita akan berusaha mengatasi kelemahan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Mengulas perlawanan malam ini, Milomir berkata pasukannya tidak gentar dengan Pulau Pinang dan akan cuba memenangi perlawanan itu sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.
“Pulau Pinang sebuah pasukan yang bagus, namun kami tidak gentar dengan mereka…kita akan bermain seperti sebelum ini dan membawa pulang tiga mata penuh,” katanya.
Dalam pada itu, Milomir berkata dia mungkin akan membuat sedikit perubahan pada kesebelasan utamanya malam ini.

“Ya, saya mungkin akan membuat sedikit perubahan berbanding ketika bertemu Kuantan FA kerana Pulau Pinang sebuah pasukan yang berbeza dan mereka lebih kuat.
“Saya tahu kelemahan mereka tapi kita tidak hanya fokus kepada kelemahan itu kerana mereka juga mempunyai beberapa pemain yang memiliki kelebihan fizikal, mereka juga bahaya setiap kali bermain hantaran jauh,” katanya.

Pada perlawanan lalu, penjaga gol, Mohd Fazli Paat diberi kepercayaan untuk menjaga gawang pasukan dengan dibantu barisan pertahanan diketuai, Ketua Pasukan, Rosdin Wasli, Pocuca Predrag, Varathan Arumugam dan juga Julamri Muhammad.

Di bahagian serangan pula, Milomir meletakkan pemain kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman dan Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar sebagai pemain sayap manakala Mitrovic dan Mohd Redzuan mengemudi bahagian tengah.

Sementara itu, ‘ayam tambatan’ baharu Sabah, Marwan pula digandingkan dengan Md Farid Ideris sebagai penyerang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua pemainnya bebas dari sebarang kecederaan dan boleh beraksi pada perlawanan malam ini, termasuklah pemain kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman.

“Setakat ini, tiada pemain yang mengadu mengalami kecederaan dan mereka bersedia untuk beraksi,” katanya.

Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA