Headlines News :
Home » » Hamza: Tiada tangkapan lanjut kes tembak cermin

Hamza: Tiada tangkapan lanjut kes tembak cermin

Written By The Tambadau on Friday, January 24, 2014 | 12:48 AM


KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menyatakan tiada tangkapan lanjut dilakukan oleh pihaknya berhubung kes tembak pecah cermin yang berlaku di kawasan Bandaraya dan Penampang pada 10 Januari lalu.

Katanya, pihaknya kini sedang meneruskan siasatan secara menyeluruh dan meliputi segala aspek.

“Sama ada dari aspek perbuatan budak-budak nakal, kumpulan-kumpulan tertentu atau perbuatan yang berkaitan dengan gangsterisme, pihak polis akan membuat siasatan secara menyeluruh,” kata Hamza ketika ditemui di Majlis Pelancaran Buku ‘Amalan Menyambut Kelahiran’ Anjuran Pulapol Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Juga, Hamza menegaskan bahawa pihaknya tidak ingin terlalu membuka ruang mendedahkan maklumat mengenai kes berkenaan setakat ini demi memastikan kelancaran siasatan yang sedang dijalankan.

Selain itu, katanya, pihaknya telah mengarahkan Ketua Polis Kota Kinabalu untuk membuat laporan dan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti individu yang memuat turun gambar palsu di laman sosial yang menyatakan mempunyai kaitan dengan kes tembak pecah cermin ini.

“Di samping bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak polis sendiri yang akan menjalankan siasatan mengenai penyebaran gambar palsu ini,” katanya.

Sehingga kini, pihak polis telah berjaya menangkap lima suspek dan merampas selaras senapang angin yang dipercayai terlibat dengan kes tembak pecah cermin ini.

Selepas siasatan dijalankan, dua daripada kesemua suspek yang merupakan lelaki berusia linkungan 30-an telah dibebaskan sementara tiga lagi suspek masih ditahan reman.

Terdahulu, Hamza menyatakan sebanyak 3,000 naskah buku ‘Amalan Sambutan Kelahiran’ mengikut cara Islam dan Sunnah RasulAllah telah diedarkan kepada semua ketua-ketua Jabatan Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan ketua-ketua polis Daerah di seluruh Negeri.

Buku hasil ilham Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Sabah yang mengandungi 26 muka surat itu telah mengambil masa selama enam bulan untuk ditulis dan dicetak.

Hamza berkata, pihaknya akan menyokong pencetakan semula buku yang berharga RM10 itu jika sambutan yang diterima menggalakkan.

Juga, Majlis tersebut turut menyaksikan sebanyak 200 unit jaket keselamatan untuk diedarkan kepada murid-murid sekolah di Daerah Ranau, Tuaran, Sandakan, Semporna dan Keningau yang menggunakan pengangkutan air sebagai akses utama untuk ke sekolah setiap hari.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA