Headlines News :

Latest Post

Showing posts with label Sabah FA. Show all posts
Showing posts with label Sabah FA. Show all posts

Piala FA pusingan kedua pertemuan Sabah dan Kelantan

Written By The Tambadau on Thursday, January 30, 2014 | 6:47 PM


PIALA FA
Pusingan Kedua

Sabah vs Kelantan
Masa : 8:00PM
Tarikh : 4 Feb 2014

Perlawanan ini disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801

#MisiKITA

Siaran ini boleh ditonton secara online di blog ini dengan cara klik sini.

MISI KITA TETAP DITERUSKAN : ROSDIN

Written By The Tambadau on Tuesday, January 28, 2014 | 5:29 PM

Kapten Sabah itu yakin pasukan akan perbetulkan kesilapan, tingkatkan corak permainan

Oleh WILLIE JUDE JUNAIDI
willie@sabahfa.com


KETUA Pasukan, Rosdin Wasli, menegaskan misi Sabah untuk kembali ke Liga Super musim depan tetap diteruskan walaupun tewas pada dua perlawanan awal, baru-baru ini.

Pemain berusia 32 tahun itu berkata, dia percaya semua pemain dalam pasukan akan bangkit dan memperbetulkan semua kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Pada separuh masa pertama ketika bertemu Felda United, kita menguasai perlawanan dan pemain juga beraksi dengan baik.

“Namun corak permainan kami sedikit menurun selepas pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan dan pada babak kedua pula, saya akui kami ada melakukan kesilapan.

“Bagaimanapun, saya percaya rakan sepasukan akan bangkit dan memperbetulkan mana-mana kesilapan kami sebelum perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar para peminat terus memberi sokongan kepada pasukan pada perlawanan akan datang.

“Misi kita harus diteruskan, marilah kita sama-sama memberi sokongan kepada pasukan, Insya-ALLAH kami akan membuat yang terbaik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Sabah, Rahman Zakaria berterima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke Stadium Likas, Isnin lalu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada penyokong kerana dapat hadir ke stadium malam ini (Isnin) kerana pemain amat perlu sokongan penyokong.

“Bagaimanapun, saya menyeru penyokong dan peminat agar bersabar kerana saingan baru di peringkat awal,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Felda United, Isnin lalu.

Rahman turut memuji sikap penyokong yang sentiasa bersikap positif sepanjang aksi perlawanan dengan tidak melemparkan kata-kata kesat kepada pasukan mahupun pihak lawan.

Sabah akan meneruskan cabaran liga menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tempat lawan pada 7 Februari tetapi sebelum itu mereka akan mengharungi pusingan kedua Piala FA menentang juara bertahan Kelantan juga di tempat lawan pada 4 Februari.

FAM luluskan perlawanan malam di Stadium Likas

Written By The Tambadau on Saturday, January 25, 2014 | 2:42 PM

SABAH BERAKSI MALAM
FAM luluskan perlawanan malam di Stadium Likas

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com


SELEPAS beraksi petang sepanjang musim lalu, Sabah kini boleh ‘melayan’ kehadiran pasukan lawan di sebelah malam selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meluluskan perlawanan waktu malam di Stadium Likas, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil, berkata pihaknya sebelum ini telah membuat permohonan kepada FAM untuk perlawanan pada waktu malam selepas pemeriksaan tahap lux lampu dijalankan, 22 Januari lalu.

“Baru-baru ini (22 Januari), pihak SAFA bersama kakitangan Lembaga Sukan Sabah dan kontraktor yang bertanggungjawab telah melakukan pemeriksaan terhadao tahap lux lampu di Komplek Sukan Likas.

“Hasil pemeriksaan juga kemudian dimaklumkan kepada FAM dan permohonan untuk perlawanan pada waktu malam turut dikemukakan.

“Susulan itu, FAM telah meluluskan perlawanan pada 27 Januari bertemu Felda United diubah pada jam 8.15 malam,” katanya, kelmarin.

Perubahan masa perlawanan itu sudah pasti memberi kelegaan kepada penyokong Sabah yang tidak dapat datang ke stadium pada sebelah petang.

Sementara itu, tinjauan pada laman Facebook rasmi SAFA mendapati, kebanyakan penyokong gembira dengan keputusan berkenaan.

Difahamkan juga sebelum ini, antara faktor penyokong tidak dapat hadir ke stadium kerana bekerja selain beberapa faktor lain.

http://sabahfa.com/fam-luluskan-perlawanan-malam-di-stadium-likas/

***

REAKSI penyokong di laman Facebook rasmi SAFA selepas mendapat tahu Sabah akan bermain pada waktu malam menentang Felda United, Isnin depan.


Cebagoo tidak dapat meneruskan cabaran Piala FA


Banyak peluang tidak tidak menjadi. 2 percubaan terkena palang. Terima kekalahan dan kami akan teruskan. Masa penuh PBAPP FC 2 - CEBAGOO FC 0.

Buktikan sokongan kepada pasukan Sabah


Sebagai Sabahan, mari kita buktikan sokongan kepada pasukan Sabah dengan memenuhkan Stadium Likas pada 27hb ini, jam 4.00 petang dan laungkan teriakan memberikan semangat kepada pemain kita. Sabah akan menentang Felda United dalam saingan Liga Perdana 2014

Pulau Pinang telah membuktikan sokongan mereka apabila hampir 10 ribu penyokong memenuhi Stadium Bandaraya dan telah memberikan kesan hebat dengan memenangi perlawanan itu walaupun dibolosi seawal 10 minit pertama hasil jaringan Rozaimi.

Tidak memihak kepada kita

Written By The Tambadau on Friday, January 24, 2014 | 4:34 PM

TIDAK MEMIHAK KEPADA KITA
Sabah terpaksa akur tewas kepada Pulau Pinang di tempat lawan

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com


PERLAWANAN pertama Liga Perdana 2014 tidak memihak kepada Sabah apabila tewas 1-3 di tangan Pulau Pinang pada aksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Ketua Jurulatih, Milomir Seslija melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Reithudin Emran sebagai pertahanan bersama-sama dengan Pocuca Predrag, Varathan Arumugam dan Julamri Muhammad.

Kapten, Rosdin Wasli yang sebelum ini menerajui barisan pertahanan diberi kepercayaan bermain di bahagian tengah bersama-sama dengan Mitrovic Srecko, Mohd Redzuan Nawi, Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar, dan juga Rozaimi manakala Marwan Sayedeh dilihat bertindak sebagai penyerang tunggal.

Pada perlawanan itu, Sabah bermula baik di awal permainan dan berjaya mendahului 1-0 hasil jaringan Rozaimi di minit ke-10.

Gol itu bermula daripada satu gerakan menarik oleh Mohammad Ezaidy yang membuat hantaran lintang kemas dan disempurnakan dengan baik oleh pemain kebangsaan itu.

Bagaimanapun, pasukan Pulau Pinang yang bermain di hadapan lebih 10,000 penyokong mereka tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit apabila mula melancarkan beberapa serangan bahaya namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah selain diselamatkan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.

Permainan pasukan Sabah sedikit terjejas selepas kehilangan Mohd Redzuan yang terpaksa digantikan dengan Sabri Sahar akibat kecederaan.

Pada minit ke-28, Pulau Pinang hampir menjaringkan gol namun tandukan penyerang importnya, Lee Gil Hoon sekadar singgah di palang.

Pulau Pinang kemudian terus garang mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya menerusi Mohd Zharif Hasna yang merembat masuk bola ke jaring, satu minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Bermula di babak kedua, Sabah bermula baik dengan beberapa serangan bahaya termasuk rembatan Mohammad Ezaidy yang terkena palang pada minit ke-51.

Bagaimanapun, Pulau Pinang lebih dulu mendapatkan gol menerusi seorang lagi penyerang importnya, Hilton Moreira, pada minit ke-61.

Hilton menyepak masuk bola muntah ke dalam gol selepas penjaga gol Sabah menyelamatkan sepakan percuma daripada pemain Pulau Pinang dari luar kotak penalti.

Sabah terus dihukum dua minit kemudian, kali ini menerusi serangan kilat pasukan Pulau Pinang ketika pasukan yang digelar ‘Sabahawks’ itu berusaha mencari gol penyamaan.

Gol minit ke-63 itu dijaringkan Mohd Zharif untuk gol peribadi keduanya pada malam itu.

Permainan kemudian seimbang dengan kedua pasukan saling bertukar serangan dan Sabah turut mendapat beberapa peluang baik namun masih gagal menghasilkan gol.

Milomir selepas itu cuba mengubah taktik permainan dengan memasukkan Maxsius Musa menggantikan Mohammad Ezaidy pada minit ke-66 dan merehatkan Marwan Sayedeh untuk digantikan dengan Isma Alif Mohd Salim pada minit ke-77.

Kemasukan dua pemain itu dilihat memberi sedikit nafas baru kepada pasukan namun tidak mencukupi untuk merapatkan jurang gol dengan Pulau Pinang.

Di penghujung perlawanan, penjaga gol Sabah, Mohd Fazli dilihat mengalami kecederaan, namun terpaksa bertahan berikutan Sabah telah melakukan tiga pertukaran sebelum itu.

Bagaimanapun, penjaga gol berasal dari Johor itu sempat melayangkan badan untuk menyelamatkan satu lagi cubaan bahaya daripada pemain Pulau Pinang di masa tambahan.

Dia kemudian rebah dan terpaksa diberi rawatan sekali lagi, tetapi kemudian mampu meneruskan perlawanan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Senarai pemain Sabah 2014

Written By The Tambadau on Thursday, January 23, 2014 | 11:53 AM



“Saya harap, pasukan Sabah pada tahun ini akan memperoleh kejayaan dan kecemerlangan dalam arena bola sepak khususnya di Liga Perdana, sekali gus memberi impak positif dari segi peningkatan peminat dan penyokong untuk terus memberi sokongan kepada Sabahawks,” katanya.

Musa berkata, SAFA juga akan melakukan yang termampu untuk mencari dana bagi membela kebajikan pemain agar mereka lebih fokus menghadapi musim baru ini
“Kalau kita bersusah-payah mencari dana supaya para pemain tidak berasa kekurangan, saya harap pemain juga akan berusaha lebih kuat untuk membalas kepercayaan kami terutamanya peminat,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih, Milomir Seslija, berkata semua pemainnya kini bersiap sedia untuk mengharungi musim baru yang bermula minggu depan. ”Saya melihat ada peningkatan terhadap mutu permainan pasukan pada setiap perlawanan pra musim, baru-baru ini, namun kita akan terus berusaha perbaiki setiap kelemahan yang ada.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong pembentukan pasukan selama ini termasuklah pengurusan, media dan penyokong khasnya,” katanya.

PASUKAN SABAH 2014

Pengurus
Rahman Zakaria

Ketua Jurulatih
Milomir Seslija

Penjaga Gol
Irwan Jamil
Mohd Fazli Paat
Mohd Fazrul Iman Malan

Pertahanan
Md Reithudin Ag Emran
Dendy Lowa
Julamri Muhammad
Varathan Arumugam
Rawilson Batuil
Pocuca Predrag (import)

Tengah
Mohd Shahrul Chankui
Mohd Redzuan Nawi
Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar
Rosdin Wasli
Didie Arizal Ibrahim
Isma Alif Mohd Salim
Pritam Singh Charun Singh
Maxsius Musa
Jenius Karib
Mitrovic Srecko (import)

Penyerang
Rozaimi Abd Rahman
Marwan Sayedeh (import)
Rexjeson Pitirus
Md Farid Ideris
Wan Hoesne Wan Hussein
Zainizam Marjan
Sabri Sahar

Temui pemain di Suria Sabah esok

Temui pemain di Suria Sabah esok

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

BAGI menghangatkan lagi suasana arena bola sepak negeri ini, gabungan kelab dan kumpulan penyokong pasukan Sabah akan menganjurkan program ‘Pemain Bersama Penyokong’ yang akan diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, esok.


Program yang turut dianjurkan bersama penaja utama pasukan Sabah iaitu Carino, Borneo Sports Arena (BSA) dan Horizon Hotel itu akan berlangsung selama dua jam bermula dari jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang.

Selain pengenalan barisan pengurus dan pemain Sabah bagi musim 2014, pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan lagi program yang julung kali diadakan itu.

Pengerusi Penganjur yang juga selebriti terkenal, Farish Aziz, berkata tujuan program ‘Pemain Bersama Penyokong’ itu diadakan adalah sebagai tanda sokongan kepada pasukan Sabah yang akan mengharungi musim baru, minggu depan.

“Kita juga mahu menghidupkan semula semangat penyokong Sabah agar mereka kembali membanjiri stadium pada setiap perlawanan yang diadakan di tempat sendiri iaitu di Stadium Likas.

“Selain sesi pengenalan pemain, penyokong yang hadir turut berpeluang mendapatkan poster kalender pemain Sabah 2014 secara percuma serta memenangi hadiah menarik menerusi beberapa aktiviti menarik yang diadakan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat penyelaras program ‘Pemain Bersama Penyokong’ di bilik mesyuarat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), di sini, malam kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam SAFA, Mohd Joh Wid dan Ketua Jurulatih Sabah, Milomir Seslija.

Farish berkata, turut diadakan juga ialah persembahan oleh artis tempatan terkenal termasuk Esther Applunius, Ray Suria FM, Raynizam dan juga pemain ‘finger percussion’, Ayin.

Sementara itu, Mohd Joh, ketika ditemui, berkata program yang dianjurkan itu adalah titik tolak kebangkitan penyokong pasukan Sabah.

“Program ini sudah pasti akan membangkitkan semangat pemain dalam mengharungi musim baru yang akan bermula tidak lama lagi…syabas dan tahniah kepada semua yang terbabit dalam penganjuran program ini,” katanya.

Sabah mahu langkah kanan

Sabah mahu langkah kanan

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

Menjelang perlawanan menentang Kuantan FA malam ini.

SELEPAS hampir setengah tahun membuat persiapan, pasukan ‘baharu’ Sabah bakal menguji kekuatan sebenar mereka apabila turun menentang pasukan kelab dari Pahang, Kuantan FA dalam saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.


Tumpuan pastinya kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan Ketua Jurulatih, Seslija Milomir pada perlawanan itu kerana beliau mempunyai 26 pemain sebagai pilihan dengan hanya empat pemain musim lalu yang masih kekal.

Baru-baru ini, Milomir mendedahkan beliau mempunyai 13 hingga 15 pemain yang layak untuk menjadi kesebelasan utama, namun, katanya, senarai kesebelasan terbaik sudah berada dalam fikirannya.

“Saya memiliki 14 hingga 15 pemain yang boleh diturunkan sebagai kesebelasan utama, tetapi ia bergantung pasukan mana yang kita akan lawan.

“Setiap pemain mempunyai peluang kerana mereka bekerja keras pada setiap sesi latihan, tapi saya tahu siapa yang akan main…ianya sudah berada dalam fikiran saya,” katanya.

Baru-baru ini, Sabah mengumumkan 26 pemainnya yang bakal menjadi sandaran pasukan untuk menyelesaikan misi layak ke Liga Super musim depan.

Antara pemain yang tersenarai termasuk penyerang sensasi negara, Rozaimi Rahman, serta pemain pertahanan senior, Reithudin Emran yang dipanggil semula menyertai pasukan selepas beraksi bersama pasukan Cebagoo FC pada musim lalu.

Selain itu, pasukan Sabah juga bakal diperkuatkan tiga pemain import luar iaitu penyerang, Marwan Sayedeh (Syria), pemain tengah, Mitrovic Srecko (Serbia), dan pertahanan, Pocuca Predeg (Crotia).

Sabah turut mengekalkan pemain seniornya iaitu ketua pasukan, Rosdin Wasli, dan Zainizam Marjan selain memasukan lapan pemain import dari semenanjung iaitu Mohd Fazli Paat, Mohd Redzuan Nawi, Md Farid Ideris, Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar, Varathan Arumugam, Wan Mohd Hoesne Wan Hussein, Isma Alif Mohd Salim, dan Pritam Singh Charun Singh.

Di atas kertas, Sabah mungkin pasukan pilihan pada perlawanan malam nanti, namun, Milomir menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak.

“Kita tidak boleh memandang mudah perlawanan ini kerana apa pun boleh terjadi dalam bola sepak, sebelum ini saya difahamkan pasukan Kuantan FA pernah mengikat Terengganu 0-0 pada pra-musim lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Milomir berkata, beliau yakin anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kuantan FA berdasarkan komitmen yang ditunjukkan pemain ketika ini, ”Saya mempunyai keyakinan pada perlawanan ini, mereka (pemain) sentiasa bekerja keras ketika latihan termasuklah ketika mengharungi lapan perlawanan persahabatan pra-musim, baru-baru ini…saya yakin kita mampu melepasinya (mara ke pusingan seterusnya dalam Piala FA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyerang, Rozaimi Abd Rahman mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan malam ini.

Katanya, walaupun penyerang berusia 22 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan dan direhatkan daripada sesi latihan, namun dia yakin Rozaimi akan cergas sepenuhnya menjelang perlawanan malam ini.

“Kita merehatkan dia dalam beberapa sesi latihan baru-baru ini, kita harap dia akan mampu diturunkan esok (malam ini)…kita akan lihat nanti,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Kuantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Milomir berkata Rozaimi hanya mengalami kecederaan ringan disebabkan beberapa faktor termasuk cuaca tidak menentu yang sedikit menjejaskan keadaan padang ketika latihan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Rahman Zakaria, berkata kemenangan ke atas Kuantan FA malam nanti sangat penting bagi menaikkan lagi semangat pemain untuk mengharungi perlawanan akan datang.

“Walaupun sebenarnya sasaran kita adalah untuk layak ke Liga Super pada musim depan, namun saya menganggap perlawanan Piala FA ini juga penting.

“Saya harap pemain akan memberikan aksi terbaik pada perlawanan menentang Kuantan FA, kemenangan pertama dalam perlawanan kompetitif pertama ini sangat penting,” katanya.

Milomir menangis terharu sokongan

Tangisan Milo

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

Jurulatih Sabah tersentuh sambutan penyokong ’menakjubkan’.

PROGRAM ‘Pemain Bersama Peminat’ yang diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, kelmarin menyentuh emosi Ketua Jurulatih Sabah, Milomir Seslija apabila tidak mampu menahan air mata selepas melihat sambutan ‘menakjubkan’ daripada penyokong yang hadir.



Ketika diminta menyampaikan ucapan kepada peminat oleh pengacara, Farish Aziz, Milomir seakan-akan tidak mampu bersuara malah turut kelihatan mengesat air matanya.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik dan segala yang termampu untuk pasukan, Sabah Boleh! Sabah Boleh! Sabah Boleh!” katanya selepas itu, disusuli sorakan bergema daripada seramai kira-kira 1,000 peminat.

Selain kagum dengan sambutan diberikan, antara sebab jurulatih import berusia 49 tahun itu tidak mampu menahan sebak ialah apabila terlihat seorang penyokong membawa jersi lama pasukan Sabah bernombor 12 yang pernah dipakainya pada zaman kegemilangan pasukan sekitar tahun 90-an dulu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan saya harap sokongan sebegini akan berterusan pada kempen Liga Perdana nanti,” katanya yang masih mengesat air mata ketika ditemui selepas program berkenaan.

Program yang diadakan itu adalah anjuran gabungan kelab penyokong Sabah bersama penaja utama Carino, Borneo Sports Arena (BSA) dan Horizon Hotel.

Selain sesi memperkenalkan pasukan Liga Perdana 2014 Sabah, peminat yang hadir turut berpeluang mendapatkan autograf serta mengambil gambar bersama pemain kesayangan mereka.

Seramai kira-kira 1,000 penyokong hadir pada program ‘Pemain Bersama Peminat’ di Suria Sabah.

Sementara itu, seorang peminat setia dari Ranau, Waideh Laumin, 30-an, berkata sokongan yang diberikan peminat diharap berterusan sehingga tamatnya saingan Liga Perdana musim ini.

“Saya juga berharap, pemain dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi pada setiap perlawanan tidak kira di tempat lawan mahu pun tempat sendiri.

“Saya yakin dengan pengalaman jurulatih Sabah iaitu Milo dan juga penampilan semula penyerang, Rozaimi Abd Rahman, Sabah mampu pergi jauh musim ini,” katanya.

Para peminat yang hadir kelmarin turut dihiburkan penyanyi terkenal termasuk Esther Applunius, Ray Suria FM, Raynizam dan Ayin yang menunjukkan kemahiran tinggi bermain ‘finger percussion’.

Turut hadir pada program itu ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Joehari Datuk Ayub serta Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam SAFA, Mohd Joh Wid.

Marwan mahu ‘cetak’ lebih banyak gol

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com

Penyerang dari Syria itu berazam bantu pasukan selesaikan misi


PENYERANG import Sabah, Marwan Sayedeh bertekad membantu pasukan menyelesaikan misi untuk kembali ke Liga Super musim depan dengan mencipta lebih banyak gol buat pasukan.

Bekas penyerang pasukan Pelita Bandung Raya FC di Indonesia itu, berkata beliau sudah membiasakan diri dengan suasana pasukan dan menyifatkan semua rakan sepasukan sebagai ‘orang baik’ dan sangat profesional.

marwan-mahu-cetak
MARWAN cuba mengasak pertahanan Kuantan FA pada perlawanan Piala FA di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu.

“Semua pemain di sini orang baik dan profesional…bisa bantu kawan dan Alhamdulilah semuanya tiada masalah.

“Saya akan berusaha membantu pasukan musim ini dengan ‘mencetak’ lebih banyak gol,” katanya penyerang dari Syria yang fasih berbahasa Indonesia itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan di Padang Pusat Kecemerlangan Sukan Westlands, Pulau Pinang, petang kelmarin.

Marwan, 30, menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika Sabah menewaskan Kuantan FA 1-0 di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu.

Gol tunggalnya itu juga berjaya membawa pasukan layak ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA bertemu Kelantan, bulan depan.

Sementara itu, Marwan berkata dia dan rakan sepasukan lain kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Pulau Pinang, esok.

“Saya bersyukur kita menang pada perlawanan menentang Kuantan FA, malam kelmarin (Selasa) dan kini tumpuan kita ialah pada perlawanan jumaat ini (menentang Pulau Pinang).

“Setakat ini, setiap pemain menunjukkan komitmen tinggi dan bekerja keras…harap kita akan menang,” katanya.

CABARAN SEBENAR BERMULA

Menjelang perlawanan menentang Pulau Pinang malam ini.
CABARAN SEBENAR BERMULA

Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com



SELEPAS memulakan kempen 2014 dengan kemenangan, pasukan Sabah bakal menghadapi cabaran sebenar apabila turun menentang Pulau Pinang dalam perlawanan pertama Liga Perdana musim ini di tempat lawan, malam ini.

Jika dilihat, lawan Sabah kali ini tidak semudah seperti perlawanan pertama Piala FA menentang Kuantan FA, Selasa lalu, kerana Pulau Pinang mula menunjukkan kekuatan mereka apabila memaksa pasukan Liga Super, Sarawak berhempas-pulas pada saingan sama di Kuching.


Pasukan Sabah berdoa selepas tamat sesi latihan di Padang Penang Sports Club, petang kelmarin.

Pada perlawanan itu, Pulang Pinang berjaya mengikat Sarawak 1-1 sehingga ke masa tambahan namun terpaksa akur apabila pasukan Ngap Sayot akhirnya mendapat gol kemenangan sebelum wisel penamat dibunyikan.

Bagi Sabah pula, perlawanan menentang Kuantan FA tidak memberi masalah kepada mereka walaupun hanya dengan kemenangan tipis 1-0.


Perlawanan itu menyaksikan Sabah menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun gagal melakukan penyudah yang baik dan hanya mampu berpuas hati dengan jaringan tunggal penyerang import dari Syria, Marwan Sayadeh pada minit ke-18.

Kesebelasan utama Sabah yang diturunkan pada perlawanan menentang Kuantan FA, Selasa lalu.
Kesebelasan utama Sabah yang diturunkan pada perlawanan menentang Kuantan FA, Selasa lalu.

Ketua Jurulatih, Milomir Seslija, bagaimanapun berkata kemenangan pertama itu telah menaikkan semangat pemain dan yakin mereka akan menunjukkan prestasi lebih baik pada perlawanan malam ini.

“Walaupun menang tipis, kemenangan tetap kemenangan dan ianya permulaan yang baik untuk pasukan.

“Dari segi permainan, pasukan menunjukkan satu persembahan baik terutama di separuh masa kedua, namun kita akan berusaha mengatasi kelemahan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Mengulas perlawanan malam ini, Milomir berkata pasukannya tidak gentar dengan Pulau Pinang dan akan cuba memenangi perlawanan itu sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.
“Pulau Pinang sebuah pasukan yang bagus, namun kami tidak gentar dengan mereka…kita akan bermain seperti sebelum ini dan membawa pulang tiga mata penuh,” katanya.
Dalam pada itu, Milomir berkata dia mungkin akan membuat sedikit perubahan pada kesebelasan utamanya malam ini.

“Ya, saya mungkin akan membuat sedikit perubahan berbanding ketika bertemu Kuantan FA kerana Pulau Pinang sebuah pasukan yang berbeza dan mereka lebih kuat.
“Saya tahu kelemahan mereka tapi kita tidak hanya fokus kepada kelemahan itu kerana mereka juga mempunyai beberapa pemain yang memiliki kelebihan fizikal, mereka juga bahaya setiap kali bermain hantaran jauh,” katanya.

Pada perlawanan lalu, penjaga gol, Mohd Fazli Paat diberi kepercayaan untuk menjaga gawang pasukan dengan dibantu barisan pertahanan diketuai, Ketua Pasukan, Rosdin Wasli, Pocuca Predrag, Varathan Arumugam dan juga Julamri Muhammad.

Di bahagian serangan pula, Milomir meletakkan pemain kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman dan Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar sebagai pemain sayap manakala Mitrovic dan Mohd Redzuan mengemudi bahagian tengah.

Sementara itu, ‘ayam tambatan’ baharu Sabah, Marwan pula digandingkan dengan Md Farid Ideris sebagai penyerang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata semua pemainnya bebas dari sebarang kecederaan dan boleh beraksi pada perlawanan malam ini, termasuklah pemain kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman.

“Setakat ini, tiada pemain yang mengadu mengalami kecederaan dan mereka bersedia untuk beraksi,” katanya.

 
Support : The Tambadau Team
Copyright © 2014. The Tambadau - Penyokong Bolasepak Sabah - All Rights Reserved
Graphic and Design by The Tambadau Team
Proudly powered by Blogger Pro

Sumber rujukan utama kami bagi perkembangan bolasepak Sabah ialah di Sabah FA