TIDAK MEMIHAK KEPADA KITA
Sabah terpaksa akur tewas kepada Pulau Pinang di tempat lawan
Oleh Willie Jude Junaidi
willie@sabahfa.com
PERLAWANAN pertama Liga Perdana 2014 tidak memihak kepada Sabah apabila tewas 1-3 di tangan Pulau Pinang pada aksi di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi.
Pada perlawanan itu, Ketua Jurulatih, Milomir Seslija melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Reithudin Emran sebagai pertahanan bersama-sama dengan Pocuca Predrag, Varathan Arumugam dan Julamri Muhammad.
Kapten, Rosdin Wasli yang sebelum ini menerajui barisan pertahanan diberi kepercayaan bermain di bahagian tengah bersama-sama dengan Mitrovic Srecko, Mohd Redzuan Nawi, Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar, dan juga Rozaimi manakala Marwan Sayedeh dilihat bertindak sebagai penyerang tunggal.
Pada perlawanan itu, Sabah bermula baik di awal permainan dan berjaya mendahului 1-0 hasil jaringan Rozaimi di minit ke-10.
Gol itu bermula daripada satu gerakan menarik oleh Mohammad Ezaidy yang membuat hantaran lintang kemas dan disempurnakan dengan baik oleh pemain kebangsaan itu.
Bagaimanapun, pasukan Pulau Pinang yang bermain di hadapan lebih 10,000 penyokong mereka tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit apabila mula melancarkan beberapa serangan bahaya namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah selain diselamatkan penjaga gol, Mohd Fazli Paat.
Permainan pasukan Sabah sedikit terjejas selepas kehilangan Mohd Redzuan yang terpaksa digantikan dengan Sabri Sahar akibat kecederaan.
Pada minit ke-28, Pulau Pinang hampir menjaringkan gol namun tandukan penyerang importnya, Lee Gil Hoon sekadar singgah di palang.
Pulau Pinang kemudian terus garang mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya menerusi Mohd Zharif Hasna yang merembat masuk bola ke jaring, satu minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Bermula di babak kedua, Sabah bermula baik dengan beberapa serangan bahaya termasuk rembatan Mohammad Ezaidy yang terkena palang pada minit ke-51.
Bagaimanapun, Pulau Pinang lebih dulu mendapatkan gol menerusi seorang lagi penyerang importnya, Hilton Moreira, pada minit ke-61.
Hilton menyepak masuk bola muntah ke dalam gol selepas penjaga gol Sabah menyelamatkan sepakan percuma daripada pemain Pulau Pinang dari luar kotak penalti.
Sabah terus dihukum dua minit kemudian, kali ini menerusi serangan kilat pasukan Pulau Pinang ketika pasukan yang digelar ‘Sabahawks’ itu berusaha mencari gol penyamaan.
Gol minit ke-63 itu dijaringkan Mohd Zharif untuk gol peribadi keduanya pada malam itu.
Permainan kemudian seimbang dengan kedua pasukan saling bertukar serangan dan Sabah turut mendapat beberapa peluang baik namun masih gagal menghasilkan gol.
Milomir selepas itu cuba mengubah taktik permainan dengan memasukkan Maxsius Musa menggantikan Mohammad Ezaidy pada minit ke-66 dan merehatkan Marwan Sayedeh untuk digantikan dengan Isma Alif Mohd Salim pada minit ke-77.
Kemasukan dua pemain itu dilihat memberi sedikit nafas baru kepada pasukan namun tidak mencukupi untuk merapatkan jurang gol dengan Pulau Pinang.
Di penghujung perlawanan, penjaga gol Sabah, Mohd Fazli dilihat mengalami kecederaan, namun terpaksa bertahan berikutan Sabah telah melakukan tiga pertukaran sebelum itu.
Bagaimanapun, penjaga gol berasal dari Johor itu sempat melayangkan badan untuk menyelamatkan satu lagi cubaan bahaya daripada pemain Pulau Pinang di masa tambahan.
Dia kemudian rebah dan terpaksa diberi rawatan sekali lagi, tetapi kemudian mampu meneruskan perlawanan sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.